fb fb fb fb fb

Integriti teras kesejahteraan negara - Sultan Perak

ultan Nazrin bertitah ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 /BERNAMA

IPOH, 5 November - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan bahawa integriti merupakan teras kesejahteraan negara serta asas pembinaan tamadun bangsa yang kukuh.

Titah baginda, selepas lebih dua dekad Pelan Integriti Nasional diperkenalkan, masih wujud jurang besar antara cita-cita dan pelaksanaan apabila isu rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan sumber terus berlaku dalam pelbagai lapisan.

Sultan Nazrin menzahirkan kebimbangan terhadap gejala penyelewengan dan kelemahan tadbir urus yang bukan sahaja mencemar imej perkhidmatan awam, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Baginda menegaskan, pembudayaan integriti tidak boleh sekadar bergantung kepada dasar, pelan atau slogan, sebaliknya menuntut perubahan minda, keberanian dan kejujuran dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Integriti tidak lahir secara spontan. Ia tidak terbentuk melalui pelan yang indah tertulis di atas kertas atau dengan menubuhkan sebuah institusi semata-mata.

"Integriti dibentuk melalui pendidikan berterusan, disemai di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat dan diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh diteladani,” titah baginda demikian ketika berkenan merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025, bertemakan “Integriti Teras Kesejahteraan Negara” di sini hari ini.

Baginda turut menyeru agar setiap pemegang amanah menjadikan integriti sebagai panduan utama dalam tindakan dan keputusan, selain mencontohi kepimpinan berasaskan kebenaran, keberanian dan kejujuran demi kemakmuran negara.

 

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD