PUTRAJAYA, 5 November - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bekerjasama membantu bagi membolehkan 80 murid sebuah sekolah rendah agama swasta menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mengingatkan para pengusaha sekolah rendah agama swasta agar mematuhi peraturan sedia ada bagi mengelakkan berlakunya keciciran murid menduduki peperiksaan berkenaan berulang.
"Bukan kata tidak baik buat kelas agama, tetapi patuh pada peraturan agar kebajikan pelajar yang berdaftar tidak diketepikan, bukannya pihak berkuasa yang ketepikan kebajikan itu.
"Tetapi pihak pentadbir sekolah perlu bertanggungjawab apabila menawarkan program, menawarkan kelas KAFA, mereka perlu bertanggungjawab untuk mendaftarkan sekolah atau kelas kafa itu dengan pihak berkuasa agama negeri berdasarkan undang-undang dan peraturan sedia ada", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2025 di Putrajaya.
Terdahulu, media melaporkan 80 murid sebuah sekolah rendah agama swasta di Puchong tidak dapat menduduki peperiksaan itu, susulan sekolah tersebut tidak berdaftar dengan JAIS selaku agensi pelaksana Sistem Pendidikan KAFA negeri.
Selepas menerima rayuan daripada pihak sekolah pada 15 Oktober lalu, hasil semakan JAKIM mendapati kesemua murid itu tidak didaftarkan sebagai calon UPKK 2025 melalui sistem rasmi pendaftaran calon, iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI).