fb fb fb fb fb

Menantu hilang disambar buaya, bapa mentua trauma

Eddie Rengkang, bapa mentua kepada Jacob Tuan ketika ditemui wartawan RTM di lokasi kejadian pagi ini dalam operasi mencari mangsa bersama pihak berkuasa/Foto Dickin RTM

KUCHING, 28 Jun – “Dia sempat panggil saya ‘Bapak!’ saja sebelum hilang ditarik buaya... saya cuba selamatkan tapi buaya itu terlalu besar dan ganas.”

Itu luahan penuh sebak Eddie Rengkang, bapa mentua kepada Jacob Tuan, 32, yang dipercayai dibaham buaya ketika sedang memancing di tebing sungai berhampiran Kampung Paroh, malam tadi.

Menurut Eddie, kejadian kira-kira pukul 10 malam itu berlaku terlalu pantas apabila seekor buaya gergasi tiba-tiba menyambar menantunya dan terus mengheretnya ke dalam sungai gelap.

“Saya cuba tarik tangan dia tapi buaya tu libas saya dengan ekor… nasib baik saya sempat undur sikit. Kalau kena betul-betul tadi, saya pun mungkin tak ada dah,” katanya kepada wartawan RTM pagi ini.

Katanya lagi, buaya itu merupakan yang paling besar pernah dilihatnya sepanjang dia memancing di kawasan tersebut.

“Satu kali dia sambar… terus hilang sudah. Itu buaya memang besar… saya pun hampir kena," katanya ketika mengingat kembali detik mencemaskan itu.

Susulan kejadian, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejak tengah malam dengan keanggotaan lebih 20 orang melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung.

Tinjauan RTM di lokasi kejadian pagi ini, operasi pencarian turut menggunakan drone bagi membuat pemantauan dari udara di sekitar anak sungai berkenaan.

Setakat pukul 9.00 pagi ini, operasi SAR masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai kelibat mangsa atau buaya terbabit.

Pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) juga telah dimaklumkan dan dijangka turut serta dalam usaha mengesan reptilia terbabit yang dipercayai sepanjang lebih enam kaki.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN