KUALA LUMPUR, 26 Mei - Malaysia kini berada dalam kedudukan strategik untuk memperkukuh perdagangan rentas negara, menjamin kestabilan bekalan serantau dan memacu pembangunan infrastruktur mampan, khususnya menerusi kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata nilai gabungan ekonomi tiga blok utama itu kini dianggarkan menghampiri AS$25 trilion, dengan jumlah penduduk melebihi dua bilion orang.
Katanya, Sidang Kemuncak Trilateral melibatkan ASEAN, GCC dan China bakal menjadi platform utama untuk merangka bentuk kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur mampan dan pendigitalan rantau.
“Sidang Kemuncak Trilateral di antara ASEAN, GCC dan China adalah inisiatif baharu yang diketengahkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama ekonomi tiga hala," katanya ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke - 46, di sini hari ini.
ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah KDNK AS$3.8 trilion, manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah AS$696.7 bilion.