KUALA LUMPUR, 26 Mei- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pembinaan ekosistem yang inklusif adalah kunci utama dalam memperkasakan penyertaan wanita dalam kepimpinan di semua peringkat.
Menurut beliau, pendidikan harus menjadi tunjang utama bagi membentuk generasi berilmu, berdaya saing dan berintegriti, seterusnya mampu melonjakkan pembangunan negara.
“Hanya melalui pendidikan yang baik, taraf kehidupan seseorang dapat diubah. Ini juga selari dengan laporan Bank Dunia yang menyatakan bahawa pendidikan yang kukuh dapat meningkatkan daya saing sesebuah negara,” katanya.
Fadhlina menyampaikan mesej tersebut ketika menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 yang berlangsung malam tadi.
Beliau menekankan bahawa platform seperti AWES 2025 penting untuk memperkukuhkan kefahaman, rangkaian kerjasama serta kepimpinan dalam kalangan wanita bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Tambahnya, pelbagai langkah proaktif juga perlu diambil bagi menambah baik ekosistem sedia ada dan memperkukuh representasi wanita sebagai pemimpin di sektor korporat dan profesional.