KUALA LUMPUR, 26 Mei- Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula hari ini di Kuala Lumpur, menghimpunkan ribuan delegasi dari seluruh pelosok rantau bagi memperkukuh kerjasama dan membina masa depan ASEAN yang lebih terangkum dan mampan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai tuan rumah, Malaysia komited untuk menerajui ASEAN dengan semangat kesepakatan, keberanian dan visi yang jelas bagi terus mengangkat martabat ASEAN, dihormati di persada dunia dan menjadi kebanggaan bersama rakyat rantau ini.
"Alhamdulillah, pagi ini saya menyambut ketibaan para pemimpin negara anggota ASEAN sebelum memulakan mesyuarat rasmi pertama di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini", ujar Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.