fb fb fb fb fb

Sarawak laksana ujian penilaian UPDLP Oktober ini

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn / UKAS

KUCHING, 26 Mei- Ujian penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UPDLP Sarawak) bagi murid Tahun Enam akan diadakan pada 15 dan 16 Oktober tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata UPDLP Sarawak ialah satu ujian piawaian bagi murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga yang terlibat dalam program berkenaan.

"Penilaian murid untuk subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan kertas peperiksaan dibuat oleh guru pakar tempatan serta disahkan oleh Cambridge University Press and Assessment (CUPA) bagi memastikan selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Beliau berkata perjanjian perkhidmatan kontrak antara Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) dan CUPA ditandatangani pada 30 April tahun ini di Cambridge, United Kingdom bagi merasmikan kerjasama antarabangsa itu, turut disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Inisiatif itu hasil kerjasama antara kementerian kami, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), SWIM dan universiti milik kerajaan negeri Sarawak. Ini membuktikan komitmen kami dalam memastikan sistem pendidikan Sarawak memenuhi piawaian global," katanya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE