fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di UK dan Eire

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan daripada Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (UKEC), yang mewakili lebih 16,000 pelajar Malaysia di United Kingdom serta Republik Ireland.

Datuk Seri Anwar menerusi hantaran Facebook memaklumkan, lawatan UKEC diketuai Vincent Tang mengemukakan cadangan peluang kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dengan UKEC dalam pelbagai bidang yang ingin diterokai berasaskan dasar sedia ada.

"Saya juga mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai bagaimana harus didepani gejala ‘brain drain’ yang telah sekian lama merundung negara.

"Saya juga telah menekankan bahawa semua pihak mesti memanfaat serta mengoptimumkan dasar serta struktur sedia ada yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan pertindihan struktur atau dasar, dan memastikan libat urus dan wacana bergerak secara berterusan bagi memastikan pelbagai isu dapat diselaraskan dengan berkesan dan sistematik," menurut hantaran itu.

Kumpulan pelajar berkenaan sedang bercuti musim panas dan sedang menjalani latihan amali di syarikat swasta dan GLC di Malaysia dan juga di luar negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI