SEPANG, 14 Ogos – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan fizikal dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai wanita Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Kaunter Pemeriksaan Imigresen, Balai Berlepas, KLIA Terminal 1 pada 13 Ogos, sekitar pukul 7.40 pagi.
Dalam insiden tersebut, seorang penumpang warganegara asing telah bertindak memaki hamun, menarik tudung, serta menolak kepala pegawai hingga menyebabkan kecederaan ringan.
Menurut kenyataan KPISM, tindakan pantas oleh pasukan keselamatan lapangan terbang berjaya mengawal keadaan sebelum kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan undang-undang selanjutnya.
“Tindakan provokasi atau mencederakan penjawat awam adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, tanpa mengira kewarganegaraan pelaku,” tegas Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia boleh disifatkan sebagai mencabar kedaulatan undang-undang negara, dan setiap pelancong wajib menghormati undang-undang negara yang mereka lawati.
Kesatuan itu turut menyeru pihak pengurusan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) agar mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pegawai bertugas serta pelancong lain, termasuk mempertimbangkan semula cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kaunter imigresen bagi tujuan pemantauan lebih komprehensif.
“Mengasari pegawai ketika bertugas bukan sahaja perbuatan biadab, malah mencemarkan imej negara dan mengancam keselamatan pintu masuk antarabangsa,” tambah Ajeet Singh.
Sebagai kesatuan yang mewakili anggota imigresen, KPISM memberi jaminan akan menyediakan bantuan kebajikan dan guaman kepada pegawai terlibat sehingga proses keadilan selesai.
KPISM turut menggesa agar siasatan dipercepatkan dan tindakan pendakwaan dilakukan tanpa kompromi terhadap individu terlibat.