fb fb fb fb fb

UniMAP angkat agenda SDG di Medan, perkukuh hubungan serantau

Program berlangsung dari 15 hingga 19 Mei 2025 di Medan, Indonesia/Foto UniMAP

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN) menganjurkan Program Mobiliti Antarabangsa di Medan, Indonesia sebagai usaha menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selaras peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Program selama lima hari itu merangkumi lawatan akademik ke dua institusi pendidikan tinggi terkemuka di Sumatera Utara, iaitu Universitas Harapan (UNHAR) dan Universitas Al-Azhar Medan (UNAZ), di samping aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti tempatan.

Ketua Program, Prof. Madya Ir. Ts Dr. Razaidi Husin berkata, inisiatif tersebut menggabungkan elemen pendidikan, teknologi TVET, khidmat komuniti dan pertukaran budaya sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala serta membina jalinan erat antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

“Kami bukan hanya menyampaikan ilmu, malah berkongsi nilai kemanusiaan dan teknologi dalam usaha membina masyarakat serantau yang inklusif dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan kepada RTM.

Antara pengisian program termasuk aktiviti penanaman pokok bakau di Desa Pasar Rawa, bertujuan memelihara kelestarian alam sekitar dan menyokong usaha mitigasi perubahan iklim, selari dengan matlamat SDG.

Ketua Projek Jelajah Komuniti dan Pendidikan FKTEN, Ir. Ts Dr. Muzammil Jusoh berkata, projek konservasi itu bukan sahaja dapat mengelakkan hakisan pantai, malah membantu memperkayakan ekosistem dan menjana pendapatan komuniti setempat yang bergantung kepada hasil laut.

Sementara itu, Ketua Pelajar merangkap wakil Persatuan Pelajar FKTEN, Mohd Farhan menyifatkan pengalaman tersebut sebagai platform pembelajaran holistik yang memberi pendedahan kepada nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam bidang kejuruteraan.

“Kami diajar untuk menjadi jurutera, bukan sekadar berkemahiran teknikal, tetapi juga prihatin terhadap masyarakat dan persekitaran,” katanya.

Program melibatkan penyertaan enam pensyarah dan 12 mahasiswa FKTEN, sekali gus memperkukuh misi UniMAP dalam melahirkan graduan berwawasan global dan cakna sosial.

MAT YUNUS BIN SABRI