fb fb fb fb fb

ASEAN terus utuh hadapi tekanan global – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia dan menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (Plenari) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji ketahanan luar biasa ASEAN dalam menghadapi tekanan terhadap sistem perdagangan global, sambil menegaskan bahawa pencapaian penting seperti penubuhan Komuniti ASEAN membuktikan kekuatan kolektif kumpulan serantau itu.

Menurut beliau, keupayaan ASEAN menyelesaikan isu secara bersama menjadi sumber keyakinan dan semangat baharu bagi rantau ini dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.

“Langkah-langkah penting ini memberikan semangat baharu serta keyakinan kepada ASEAN, disulami daya tahan luar biasa dalam menghadapi perkembangan global yang semakin rumit dan mencabar,” ujar Datuk Seri Anwar, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dalam ucapan pembukaannya, di sini hari ini.

Ketika berucap di hadapan para pemimpin negara anggota ASEAN, beliau turut meluahkan rasa bangga Malaysia diberi penghormatan untuk mempengerusikan ASEAN pada tahun ini, bertepatan dengan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN.

“Kita memperingati satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN, satu detik yang mengajak kita untuk merenung kembali dan memperbaharui tekad. Pada masa sama, kita akan menerima pakai visi 20 tahun yang berpandangan ke hadapan, yang menuntut komitmen padu dan iltizam bersama,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah tema “Keterangkuman & Kemampanan” selaras dengan kepengerusian Malaysia bagi tahun 2025.

Mengulas lanjut mengenai cabaran semasa, Datuk Seri Anwar turut menyentuh isu berkaitan peralihan dalam susunan geopolitik dan tekanan terhadap sistem perdagangan dunia.

“Sesungguhnya, satu peralihan dalam susunan geopolitik sedang berlaku, dan sistem perdagangan global terus ditekan, termasuk melalui pelaksanaan tarif unilateral oleh Amerika Syarikat baru-baru ini,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN