PUTRAJAYA, 23 April - Surat pemberitahuan Sidang Parlimen Khas bagi membincangkan tarif Amerika Syarikat akan dikeluarkan Ketua Majlis Mesyuarat hari ini kepada semua ahli parlimen.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, sidang parlimen khas diadakan bagi memberi peluang kepada ahli parlimen untuk melontarkan pandangan mengenai perkara itu.
"Kita telah membincangkan keputusan sidang parlimen yang akan diadakan pada 5 Mei dan bermula pukul 11.00pagi. Sidang khas itu akan dimulakan dengan kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diikuti sesi perbahasan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, menyampaikan pandangan mereka," kata Fahmi dalam sidang media, di sini.
Sesi pergulungan Sidang Parlimen Khas akan digulung Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan akan disusuli Kementerian Kewangan.
Semalam, Perdana Menteri memberitahu akan mengadakan sidang parlimen khas pada 5 Mei depan bagi membincangkan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap kebanyakan rakan dagang antarabangsa termasuk Malaysia.
Dalam perkembangan lain Fahmi berkata, Menara Kuala Lumpur yang ditutup buat sementara waktu, dijangka dapat dibuka semula dalam masa terdekat. Beliau mahu pihak pengurusan kementerian memastikan hasrat tersebut dapat dilaksanakan.
"Ada beberapa aspek kita tahu ia adalah struktur, sasaran penting, kawasan larangan yang mengandungi menara pemanca. Aspek itu berfungsi dengan baik. Manakala bagi orang awam seperti kita maklum sebelum ini beberapa perkara ditambah baik untuk diselenggara bagi pastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung diatasi segera," kata Fahmi.
Bangunan Menara Kuala Lumpur ditutup sementara bermula 17 April lalu bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.