fb fb fb fb fb

Gagal patuhi syarat, 1,082 tanah dilucut hak di Pahang

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail / Foto Facebook Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 23 April – Kerajaan Pahang telah melucutkan hak milik tanah yang dirampas di negeri ini mengikut peraturan yang ditetapkan sekiranya pemilik gagal mematuhi syarat pemilikan, termasuk gagal menjelaskan cukai tanah.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sehingga kini sebanyak 1,082 hak milik tanah telah dilucut hak oleh pentadbir tanah di seluruh negeri Pahang.

"Sebagai contoh, jika terdapat tunggakan, kita akan mengeluarkan Notis 6A kepada pemilik untuk menjelaskan bayaran tertunggak.

"Sekiranya mereka gagal menjelaskan bayaran selepas notis dikeluarkan, barulah kita mengeluarkan Notis 8A," katanya.

"Ini bermakna, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Yang Dipertua, segala prosedur telah kita patuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan juga dipatuhi.

"Namun, sekiranya pemilik tidak mematuhi syarat dan peraturan pembayar cukai, tindakan pelucuthakan akan diambil," ujar beliau ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam sesi Pertanyaan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini.

Tambah beliau, seramai 838 pemilik tanah tidak mengemukakan permohonan bagi membatalkan pelucuthakan yang dikenakan.

Berdasarkan rekod terkini, jumlah kutipan hasil daripada penalti pelucuthakan tanah yang berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri Pahang adalah sebanyak RM1.4 juta.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD