fb fb fb fb fb

1,958 kes denggi di Pahang pada 2024, Kuantan catat kes tertinggi

Foto RTM

KUANTAN, 23 April – Kes demam denggi di Pahang meningkat kepada 1,958 kes pada tahun 2024 berbanding 1,609 kes pada tahun 2023, mencatatkan peningkatan sebanyak 22 peratus.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Razali Kassim, peningkatan ini adalah selari dengan gelombang epidemiologi penyakit demam denggi yang biasanya memuncak setiap empat hingga lima tahun.

Jelasnya, Kuantan mencatat jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 723 kes, diikuti oleh Temerloh (404 kes), Pekan (145),Raub (138), Bera (134), Maran (129),Rompin (125), Bentong (83), Lipis (41),Jerantut (27), Cameron Highlands (9).

"Sebanyak lima (5) kes kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan pada tahun 2024, berbanding dua (2) kes kematian pada tahun 2023. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 150 peratus," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata, daerah yang mencatat kes kematian tahun ini ialah Kuantan (1 kes), Bentong (1 kes), Rompin (1 kes), Raub (1 kes), Bera (1 kes).

Tambahnya, tiga lokasi utama yang menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes ialah kawasan kediaman, premis perniagaan, dan lot tanah kosong.

Sepanjang tahun 2024, sebanyak 4,036 premis telah dikenakan cadangan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000), dengan jumlah kompaun yang ditawarkan mencecah RM2,018,000.00.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD