PUTRAJAYA, 27 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar menilai dasar serta pelaksanaan kerajaan secara adil berasaskan fakta, bukannya dipengaruhi sentimen kebencian politik semata-mata.
Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat dan terbuka menerima pandangan demi memperbaiki kelemahan yang wujud.
"Negara kita bebas dan demokratik, jadi kita harus memberi penjelasan sebab dalam temu bual (ketika perhimpunan di Dataran Merdeka) pelbagai soalan ditanya.
"Ada yang tanya minyak naik, padahal minyak turun, garam naik dan macam-macam. (Semua) ini hanyalah lebih kepada sentimen politik kebencian... tidak ikut (berlandaskan) fakta.
"Jadi, kita cadang supaya rakyat menilai mengikut fakta, kalau ada kelemahan kita boleh perbaiki," katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden PKR Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan tidak pernah mendakwa segala usaha yang dilaksanakan adalah sempurna, sebaliknya sentiasa bersikap terbuka terhadap kritikan dan teguran.
"Saya tidak katakan apa-apa yang kita buat sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar dan ubah suai apa yang perlu," katanya.
Terdahulu, beliau tiba kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada majlis tertutup berkenaan sempat menyampaikan amanat sebagai Presiden parti serta beramah mesra dengan ahli PKR yang hadir.