fb fb fb fb fb

Skim 'RTO' perlu diperluas, bantu anak muda miliki rumah

Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Pelaksanaan skim sewa beli atau 'Rent to Own' (RTO) wajar diperluas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai langkah proaktif membantu anak muda memiliki kediaman sendiri.

Penganalisis hartanah, Ahyat Ishak, menyifatkan skim tersebut sebagai satu solusi realistik dan praktikal dalam landskap ekonomi semasa.

"Bagi ramai anak muda yang baru menamatkan pengajian, baru bekerja, baru berkahwin atau baru memulakan kehidupan, pemilikan rumah bukanlah sesuatu yang tidak diingini.

“Ramai anak muda sedar tentang keperluan pemilikan rumah dan memang berminat dengan hartanah, namun dari segi kemampuan masih belum bersedia. Maka, pada peringkat awal, menyewa dahulu dan seterusnya memiliki rumah merupakan satu jalan penyelesaian yang sangat baik,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, menyewa tidak sepatutnya dianggap satu kelemahan, sebaliknya satu fasa persediaan sebelum seseorang benar-benar bersedia memikul tanggungjawab pemilikan rumah.

Malah, ia merupakan satu fasa penting yang membolehkan anak muda merancang kehidupan, memahami keperluan keluarga dan membina kekuatan kewangan secara berperingkat.

“Saya suka dengan konsep RTO kerana ia mendidik seseorang mengenali kemampuan dan perancangan kewangan, sebelum memiliki rumah. Kita perlu ubah persepsi masyarakat bahawa menyewa itu bukan satu kesalahan. Ia adalah langkah sementara sebelum mencapai kemampuan untuk membeli rumah sendiri,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan supaya pendidikan berkaitan hartanah dan pengurusan kewangan diperkukuh.

Ini memandangkan proses memiliki rumah bukan sahaja memerlukan dana yang besar, tetapi juga ilmu dan perancangan yang teliti.

"Kalau nak beli barang bernilai ribuan ringgit seperti telefon atau motosikal, sudah tentu perlu ada persediaan dari segi kewangan, usaha dan ilmu. Jadi, untuk memiliki rumah yang harganya mencecah ratusan ribu, semestinya memerlukan persiapan yang jauh lebih besar dan tersusun," katanya lagi.

Tambah Ahyat, dorongan untuk memiliki rumah tidak seharusnya disandarkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu lahir daripada kesedaran, keinginan dan persiapan anak muda sendiri. Persediaan itu, katanya, meliputi aspek kewangan, mental, ilmu, dan perancangan diri yang menyeluruh.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, reformasi sektor perumahan akan menjadi antara fokus utama dalam RMK13 yang bakal dibentangkan 31 Julai ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI