SETIA ALAM, 27 Julai - Lebih 95 peratus graduan institusi pendidikan dan latihan kemahiran berjaya memperoleh pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan industri terhadap kemahiran serta kebolehan graduan tempatan.
Beliau menegaskan, kaedah pengajaran konvensional tidak lagi mencukupi dalam mendepani cabaran semasa.
Sebaliknya, teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan tenaga kerja yang relevan dan berdaya saing.
"Dalam konteks ini, selari dengan perkembangan teknologi semasa, kaedah pengajaran dan pembelajaran tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata.
Politeknik dan Kolej Komuniti kini menekankan penggunaan teknologi digital terkini, termasuk AI dalam memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran," katanya ketika merasmikan penutupan eDOLA Digital Fair 2025 anjuran Politeknik dan Kolej Komuniti, POLYCC, di Setia City Mall, Shah Alam.
Bagi pelajar Jurusan Kemahiran, Adam Izhar Ahmad Azhari berpendedahan, teknologi digital disifatkan sebagai satu keperluan yang bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik, malah membantu mereka menguasai kemahiran yang menepati keperluan industri.
"Walaupun tidak ramai yang mengambil kursus penyelenggaraan pesawat, persaingan tetap ada. Namun, insya-Allah, dengan perkembangan pesat industri penerbangan di Malaysia yang semakin maju dan memerlukan tenaga mahir, peluang pekerjaan dalam bidang ini tetap wujud," katanya.
Manakala, Furqanul Amjad Faridilatras berpendapat perkembangan tersebut turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.
"Pada peringkat awal, pensyarah akan memberikan kami teori dan sebaik sahaja kami faham teori tersebut, kami akan terus melaksanakannya secara praktikal di dalam kelas."
"Di Malaysia sekarang, pasaran industri permainan digital sedang berkembang pesat. Malah, beberapa syarikat luar negara telah mula membuka cawangan mereka di sini, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini," katanya.
Pameran dua hari itu turut mengetengahkan pelbagai hasil inovasi digital dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, termasuk teknologi AI, Realiti Maya (VR), simulator penerbangan, robotik dan e-Sukan.