RAUB, 27 Julai - Peruntukkan tambahan RM300 juta bagi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), dilihat mampu melebar luas capaian manfaat kepada golongan sasar yang tidak hanya tertumpu kepada kawasan luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut dijangka dapat dimanfaat oleh golongan di pinggir bandar serta kawasan yang berpendudukan tinggi.
"Jualan Rahmah ni bantuan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, keseluruhan adalah sebanyak RM300 juta dan kumpulan sasaran itu perlu mengambil peluang pembelian kerana barang dijual dengan diskaun.
"Tumpuan Jualan Rahmah ialah di kawasan yang berkepadatan tinggi di kawasan bandar, pinggir bandar tanpa melupakan kawasan luar bandar yang kita telah kenal pasti," menurutnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu, dengan menambah lagi peruntukkan menjadikan jumlah keseluruhan RM600 juta bagi pelaksanaan PJRM .
Malah, pertambahan peruntukkan itu bukan sahaja menambah baik program jualan berkenaan, namun memberi lebih banyak pilihan produk dengan harga diskaun.
Sementara itu, mengulas mengenai pemberian bantuan tunai RM100 secara sekali beri menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), beliau menyifatkan bantuan tersebut adalah tepat dan menyeluruh dengan tiada individu tertinggal apabila semua rakyat merasai sumbangan tersebut.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mensyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub 2025, di Dewan Jubli Perak, Raub, Pahang, hari ini.