IPOH, 27 Julai - Kesemua 12 projek pembinaan Taman Rekreasi MADANI (TRM) di Ipoh dijangka siap sepenuhnya pada akhir Julai ini, dengan peruntukan RM5.4 juta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, antara lokasi pembinaan sedang giat dijalankan termasuk di Menglembu, Kepayang, Buntong dan Westpool.
"Jadi, saya akan merasmikan projek ini agar kita sama-sama dapat menyaksikan perubahan positif yang sedang berlaku demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Taman Rekreasi MADANI Canning Garden dan Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melibatkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) di Taman Canning Ipoh, di sini hari ini.
Bagi tahun 2025, KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membina TRM di seluruh negara dan pembinaan bagi setiap taman menelan kos sebanyak RM500,000.
Taman Rekreasi MADANI merupakan antara projek bawah inisiatif Impian Seribu Taman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyasarkan pembinaan 1,000 taman komuniti di kawasan perumahan seluruh negara bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat.