fb fb fb fb fb

Himpunan pembangkang, penganjur ditegur bawa kanak-kanak

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-53 di Dataran Kulim hari ini/Foto BERNAMA

KULIM, 27 Julai - Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menerima sebarang laporan pelanggaran berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) atau aduan terhadap mana-mana akta lain susulan perhimpunan aman anjuran pembangkang yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perhimpunan berkenaan berjalan lancar dan dikawal rapi oleh pihak polis dengan penuh tanggungjawab serta profesionalisme selaras komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kebebasan berhimpun.

"Apa pun sehingga kini saya belum ada apa-apa aduan tetapi yang jelas mesejnya yang pertama ini bukti paling nyata bahawa kerajaan betul-betul menterjemahkan bahawa kebebasan berhimpun yang dijamin dalam perlembagaan untuk dinikmati oleh rakyat sudah kita laksanakan.

"Pihak keselamatan juga memberikan kawalan secara penuh tanggungjawab dan profesional," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-53 di Dataran Kulim, di sini.

Pada masa sama, Datuk Seri Saifuddin turut menegur pihak penganjur kerana tidak memberi peringatan jelas kepada peserta agar tidak membawa kanak-kanak bawah umur ke perhimpunan kerana ia dilarang di bawah Akta Perhimpunan Aman APA 2012.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI