MUAR, 27 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan hasrat agar setiap rakyat benar-benar merasai nikmat kemajuan negara hasil kepimpinan berwawasan yang dipacu dengan semangat juang tidak pernah luntur.
Beliau menegaskan, kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah, tetapi satu amanah besar yang perlu terus disuburkan dalam jiwa rakyat.
Datuk Seri Anwar menekankan roh kemerdekaan itu difahami dan dihayati, bukan hanya dari sudut duniawi, tetapi juga ukhrawi.
“Merdeka dicapai kerana kekuatan kebersamaan kita semua. Walaupun wujud perbezaan pendapat, rakyat mesti diberi perlindungan, kasih sayang dan pembelaan secukupnya.
“Mari kita mengangkat martabat bangsa dan negara dengan tekad yang berterusan demi memastikan pembangunan ekonomi ini dapat dinikmati bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar menghadiri Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Muar yang dihadiri segenap lapisan masyarakat.