fb fb fb fb fb

Pertemuan Anwar-Prabowo peluang penting rundingan tahunan pertama bersama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Indonesia esok/Foto fail PMO

JAKARTA, 27 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Indonesia pada 28 hingga 29 Julai ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto.

Menurut Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini, rundingan itu merupakan platform dua hala tertinggi antara kedua-dua negara.

Peluang kali ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, kesalinghubungan, keterjaminan makanan dan pendidikan.

“Rundingan tahunan ini mencerminkan komitmen politik yang kukuh untuk mempererat kerjasama Malaysia-Indonesia selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Lawatan kali ini merupakan rundingan pertama Datuk Seri Anwar dan Prabowo dalam kapasiti semasa masing-masing.

"Rundingan tahunan terakhir diadakan pada 2017, menjadikan pertemuan ini peluang penting untuk mempertingkat hubungan strategik serta meneroka kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global," katanya.

Beliau turut dijadual menghadiri upacara pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi sektor sempadan darat, kerjasama kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Selain itu, beliau akan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN dan menyampaikan Ucapan Dasar mengenai ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, sekali gus menegaskan komitmen berterusan negara terhadap integrasi serantau dan pembinaan Komuniti ASEAN.

Anwar akan diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada 2024, Indonesia kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan ASEAN dengan nilai dagangan dua hala meningkat 4.5 peratus kepada RM116.29 bilion (US$25.5 bilion) berbanding RM111.21 bilion (US$24.39 bilion) pada 2023.

GRACE AISYAH KEDAYAN