KUALA LUMPUR, 23 Mei – Menteri Luar Filipina, Enrique A. Manalo bersama delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu negara.
Ketibaan beliau disambut wakil Kementerian Luar Negeri (KLN), selaras dengan amalan diplomatik antara negara anggota ASEAN.
Filipina dijangka membawa beberapa isu utama ke meja perbincangan, termasuk usaha memperkasa Forum Serantau ASEAN (ARF), hala tuju keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN serta penyelesaian konflik yang berlarutan di Myanmar.
Filipina juga optimis sidang kemuncak kali ini mampu mencetuskan kemajuan signifikan terhadap kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN, selain memperkukuh lagi peranan diplomatik Malaysia dalam menangani krisis politik dan bersenjata di Myanmar.
Sidang Kemuncak ASEAN merupakan platform tertinggi yang menghimpunkan para pemimpin negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk membincangkan pelbagai isu penting serantau dan antarabangsa.
Antara agenda utama sidang kali ini termasuk kerjasama ekonomi, keselamatan serantau, perubahan iklim, transformasi digital dan hubungan luar ASEAN.