KUALA LUMPUR, 23 Mei – ASEAN disaran untuk merangka pelan tindakan ke arah pembentukan sektor tenaga serantau yang rendah karbon dan berkecekapan tinggi.
Menurut Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB-SDSN), Prof. Jeffrey D. Sachs, konsep ASEAN Power Grid (APG) sudah lama wujud dan pelbagai projek sambungan kuasa rentas negara telah dilaksanakan.
Namun, tegasnya, pendekatan lebih menyeluruh dan sistematik diperlukan untuk merealisasikan pasaran tenaga serantau yang benar-benar integratif.
“Konsep Grid Kuasa ASEAN (APG) sudah lama wujud, dan pelbagai projek berkaitan telah dilaksanakan saban tahun.
"Namun, saya mencadangkan agar negara-negara ASEAN merangka satu pelan yang benar-benar kukuh untuk membina sektor tenaga serantau yang rendah karbon dan berkecekapan tinggi,” katanya.
Sachs yang juga Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung PBB mengenai Matlamat Pembangunan Mampan berkata, pelan bersepadu itu penting untuk menyokong perkembangan infrastruktur kenderaan elektrik serta pengangkutan awam bebas karbon.
“Ini akan mewujudkan ekonomi untuk infrastruktur yang lebih lancar bagi kenderaan elektrik, penghantaran bebas karbon untuk pengangkutan awam dan sebagainya,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog khas bertajuk “ASEAN amidst the Shifting Global Order: A Dialogue with Professor Jeffrey Sachs” yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Majlis itu dipengerusikan oleh Tan Sri Dr.Jeffrey Cheah, Canselor Universiti Sunway merangkap Pengerusi Kumpulan Sunway.