PUTRAJAYA, 23 Mei - Tourism Malaysia mengalu-alukan penerbangan terus pertama dari Lanzhou, China ke Kuala Lumpur yang menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan pelancongan dan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Tourism Malaysia memaklumkan laluan tersebut yang dikendalikan oleh China Eastern Airlines menghubungkan Lanzhou, sebuah hab ekonomi dan pengangkutan utama di wilayah barat laut China, ke Malaysia dengan tiga penerbangan seminggu menggunakan pesawat Airbus A320.
Penerbangan pertama itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
“Pencapaian ini satu langkah penting dalam usaha mempertingkatkan hubungan pelancongan dan ekonomi dua hala antara Malaysia dan China,” menurut Tourism Malaysia.
Kenyataan itu memaklumkan laluan baharu Lanzhou–Kuala Lumpur tersebut bukan sahaja menjadi perhubungan udara terus pertama antara kedua-dua bandar malah turut melengkapi penerbangan harian Kunming-Kuala Lumpur sedia ada.
“Selain itu, dengan menawarkan laluan sambungan melalui Kunming ini akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk menarik pelancong dari bandar-bandar utama di China ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Terletak secara strategik di sepanjang Laluan Sutera yang bersejarah, Lanzhou memainkan peranan penting dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, terutamanya dalam mempromosikan hubungan antara China dan negara di Asia Tengah serta Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Menurut Tourism Malaysia usaha kerjasama di sebalik perkhidmatan baharu berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan pelancongan dan kebudayaan antara kedua-dua negara.
“Ia juga pendekatan proaktif Malaysia dalam memanfaatkan peningkatan semula pelancongan keluar dari China,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Tourism Malaysia memaklumkan dari Januari hingga Mac 2025, negara telah mencatatkan 10.1 juta ketibaan pelancong antarabangsa iaitu peningkatan 22.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, dengan lebih 1.124 juta daripadanya merupakan pelancong dari China, peningkatan kukuh 36.5 peratus.
“Dasar bebas visa Malaysia bagi warganegara China yang dilanjutkan hingga Disember 2026 juga dijangka dapat mengekalkan dan memperkukuh trend positif ini.
“Tourism Malaysia berharap dapat meneruskan kerjasama dengan rakan dari China dan kekal komited dalam menyediakan pengalaman yang lebih bermakna, pelbagai, dan mesra untuk pelancong dari negara berkenaan,” menurut kenyataan itu. -BERNAMA