LENGGONG, 23 Mei- Isu larangan penjualan rokok elektronik (vape) di Perak akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), 28 Mei ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kajian menyeluruh akan dijalankan oleh Exco Kesihatan negeri, A. Sivanesan bersama pelbagai pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dimuktamad.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak akan membuat keputusan secara bersendirian dan akan mengambil kira pandangan peniaga, ibu bapa, pendidik serta Jabatan Mufti dalam proses penilaian dasar.
"Jika didapati lebih baik, memberi kebaikan untuk kita haramkan, maka kita akan pilih yang lebih baik. Jadi, saya tidak mahu membuat keputusan secara sendirian kerana kita ada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan menentukannya," kata Datuk Seri Saarani kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Lenggong Valley Motorclub di Dataran Tasik Raban, di sini.
Perlis dan Terengganu telah melaksanakan larangan penjualan vape, manakala beberapa negeri lain sedang mempertimbang langkah sama, setakat ini.