KUALA LUMPUR, 24 Mei- Malaysia menyambut ketibaan beberapa lagi menteri luar dari negara-negara sahabat pagi ini, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan siri mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Antara yang terawal tiba ialah Menteri Luar Bahrain, Dr Abdullatif Rashid Al Zayani, yang mendarat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.20 pagi.
Tidak lama kemudian, Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, turut tiba bersama isteri beliau, dengan ketibaan mereka direkodkan pada pukul 10.12 pagi.
Ketibaan berterusan delegasi serantau diteruskan dengan kehadiran Menteri Luar Indonesia, Sugiono, yang mendarat pada jam 11.34 pagi.
Kehadiran pemimpim-pemimpin ini menandakan permulaan kepada satu siri pertemuan penting yang dijangka memperkukuh kerjasama serantau serta mempertingkat peranan ASEAN sebagai sebuah blok yang dinamik, inklusif dan relevan di pentas antarabangsa.
Malaysia kini giat melakukan persiapan rapi bagi menyambut lebih ramai delegasi dari seluruh rantau dan dunia, selaras dengan komitmennya untuk menjayakan sidang kemuncak ini sebagai platform diplomasi dan kerjasama serantau berimpak tinggi.