fb fb fb fb fb

Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam ke Malaysia

Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Pham Minh Chinh (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan)

KUALA LUMPUR, 24 Mei - Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Pham Minh Chinh ke Malaysia bakal menyerlahkan hubungan kukuh antara Malaysia dan Vietnam.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan lawatan rasmi ini juga bakal memperkukuh kerjasama dua hala dan perpaduan ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini.

Chinh dijangka akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 25 Mei dan ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam pada April 2021.

Chinh akan diiringi isteri, Le Thi Bich Tran, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Republik Sosialis Vietnam, Bui Thanh Son; menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menerusi lawatan rasmi ini, Chinh akan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu istiadat sambutan rasmi yang akan diadakan di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan Mesyuarat Dua Hala.

Mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada kemajuan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga boleh baharu, pelancongan, dan teknologi digital.

Kenyataan itu turut memaklumkan kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan yang substantif mengenai perkembangan serantau dan global serta memberi penekanan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai satu platform yang sepadu dan responsif untuk menangani isu bersama, khusus dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin meningkat.

Pada tahun 2024, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-4 terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berjumlah RM83.11 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion manakala import dari Vietnam ke Malaysia bernilai RM29.25 billion.

Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor, dengan nilai pelaburan terkumpul kini melebihi AS$13 bilion.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE