fb fb fb fb fb

ASEAN: Angkat warisan budaya orang Asli ke persada antarabangsa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Mei- Reruai jualan dan pameran bertemakan ‘The Heritech Malaysia’ bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menjadi platform penting dalam mengangkat keunikan warisan budaya masyarakat Orang Asli ke peringkat antarabangsa.

Ketua Unit Muzium, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Muhammad Nazhif Mohamed Kassin berkata, penyertaan ini bertujuan menonjolkan tradisi serta produk kraf tangan yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli agar lebih dikenali dan dihargai di mata dunia.

“Ia sekali gus dapat memupuk hubungan yang lebih erat antara masyarakat Orang Asli dan arus perdana.

"Warisan budaya mereka yang unik dan berkait rapat dengan alam semula jadi seperti penggunaan buluh, kayu, daun nipah dan mengkuang merupakan cerminan cara hidup yang harmoni dengan alam,” katanya.

Reruai JAKOA menampilkan pelbagai seni tradisional dan warisan budaya termasuk demonstrasi meniup sumpit, anyaman, tarian tradisional serta permainan interaktif yang membolehkan pengunjung turut serta secara langsung.

“Saya lihat ramai yang sangat berminat dan teruja untuk mencuba sesuatu yang jarang mereka temui.

"Ada yang tidak pernah menganyam sebelum ini, tetapi di sini mereka berpeluang menganyam selempang dan tempok sendiri,” katanya.

Selain aktiviti interaktif, pihak JAKOA turut mempersembahkan tarian dan persembahan kebudayaan tradisional Orang Asli, menambahkan lagi kemeriahan suasana pameran.

Pameran tersebut melibatkan 36 reruai oleh 25 pempamer tempatan, merangkumi produk seperti kraftangan, makanan dan minuman tempatan, perkhidmatan kerajaan serta teknologi inovatif syarikat tempatan.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang dibuka kepada pengunjung sehingga esok, bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello