KUALA LUMPUR, 24 Mei- Para pengunjung reruai jualan dan pameran bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) teruja melihat kepelbagaian warisan dan budaya tempatan yang ditonjolkan pempamer.
Sebanyak 36 reruai bertemakan 'The Heritech Malaysia' itu menampilkan pelbagai produk berteraskan budaya dan inovasi seperti batik kontemporari, kraftangan, teknologi dan makanan.
Pengunjung, P.Vijiyakumar, 48, berkata, persidangan ASEAN memberi peluang kepada pempamer memperkenalkan produk tempatan dan warisan budaya kepada deligasi antarabangsa dan orang ramai.
"Di sini saya lihat lebih kepada keunikan Malaysia dari aspek tradisional mahupun batik dan ini sama sekali menarik perhatian negara serantau ASEAN, selain dapat memperkenalkan budaya kita kepada mereka," katanya ketika ditemui RTM di sini, hari ini.
Pelajar, V.Sharvin, 13, berasa bertuah berkunjung ke pameran tersebut apabila dapat mempelajari kepelbagaian warisan dan budaya ASEAN termasuk keunikan produk tempatan.
"Saya datang untuk melihat pelbagai jenis budaya sekali gus mendapat banyak maklumat serta manfaat," katanya.
Pekerja swasta, Nguyen Chi Lan, 48, menyifatkan penganjuran persidangan ASEAN adalah tepat bagi pemain indsutri terlibat mempromosikan produk tempatan mereka ke mata dunia.
"Ia adalah peluang terbaik untuk melawat pameran bersempena persidangan ASEAN 2025. Saya sebagai rakyat Vietnam yang menetap di Malaysia tidak melepaskan peluang datang untuk melihat kepelbagaian produk serta budaya negara-negara ASEAN yang ditonjolkan," katanya.
Orang ramai boleh mengunjungi reruai jualan dan pameran tersebut dari 23 hingga 25 Mei yang dibuka bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Hall 2, Aras G, KLCC.
Sementara pada 26 dan 27 Mei, ia hanya terbuka kepada delegasi ASEAN.