fb fb fb fb fb

Malaysia bakal tubuh Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bergambar bersama delegasi selepas Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) di Kuala Lumpur / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Malaysia bakal menubuhkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN yang pertama di rantau ini, sebagai langkah strategik memperkukuh peranan wanita dalam sektor ekonomi, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), belia serta wanita.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pusat tersebut merupakan antara inisiatif utama kementeriannya bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi serantau yang lebih inklusif.

“Kita telah melaksanakan beberapa program yang diumumkan sebelum ini, bukan sahaja untuk mencapai matlamat sosial, tetapi juga objektif ekonomi. MITI sentiasa terbuka untuk mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh bagi membincangkan cadangan baharu. Diharap dalam tempoh dua hari ini, pelbagai pandangan dapat dikumpulkan untuk dimajukan kepada MITI dan kementerian-kementerian berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di ibu negara hari ini.

Sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 700 delegasi wanita, terdiri daripada pemimpin, pembuat dasar, usahawan serta aktivis masyarakat dari seluruh rantau ini.

Penganjuran AWES kali ini merupakan kerjasama antara Women Leadership Foundation (WLF) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan matlamat memperkukuh peranan wanita melalui pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan dan inklusif.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk transformasi industri, kepimpinan mampan, dan transformasi digital, selaras dengan cabaran ekonomi semasa.

Turut hadir dalam sidang kemuncak tersebut ialah Pengerusi WLF, Datuk Dr Hafsah Hashim.

Tambah Tengku Zafrul, ASEAN juga menyokong pembangunan wanita dalam bidang keusahawanan melalui beberapa inisiatif sedia ada seperti Platform Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN), Majlis Usahawan Muda ASEAN (AYEC), Program Pembangunan Perusahaan Sosial ASEAN (ASEAN SEDP) dan Pertubuhan Belia ASEAN (AYO).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN