SEPANG, 24 Mei - Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan untuk menaikkan kadar caj beg plastik sebagai langkah proaktif mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaannya.
Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan negeri ke arah kelestarian hijau, serta menggalakkan penggunaan beg kitar semula dalam kalangan rakyat.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan penelitian sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
"Kerajaan negeri turut menerima maklum balas bahawa caj 20 sen bagi beg plastik dianggap terlalu rendah untuk mendorong rakyat mengambil serius isu ini.
"Sehubungan itu, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan, termasuk menaikkan kadar caj seperti yang dilaksanakan secara progresif di Pulau Pinang, atau menetapkan hari-hari tertentu untuk pelaksanaan dasar larangan penggunaan beg plastik sepenuhnya," katanya selepas melancarkan Program Kempen Bebas Plastik Peringkat Daerah Sepang 2025 di Pantai Bagan Lalang di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri berjaya mengutip RM22 juta sejak kempen bebas plastik diperkenalkan pada 2010 sehingga Mac 2025.