KUALA LUMPUR, 24 Mei – Seramai 53 pelajar Maktab Rendah Sains MARA FELDA (MARESMAF), termasuk 39 pelajar daripada Generasi Baharu FELDA, bakal mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia dalam International Festival of Wind Orchestra yang akan berlangsung di Prague, Republik Czech pada 20 dan 21 Jun ini.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata festival berprestij yang menghimpunkan penyertaan dari 11 negara itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha FELDA melahirkan bakat muda melalui pendidikan dan seni muzik.
“Bagi meraikan kejayaan ini, FELDA dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Komunikasi akan menganjurkan konsert khas bertajuk Desaku Mendunia pada 27 dan 28 Mei 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri,” katanya pada sidang media Konsert Desaku Mendunia di ibu negara.
Menurut Ahmad Shabery, konsert utama yang dijadual berlangsung pada 27 Mei akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Zahid Hamidi, yang dijangka merasmikan pra pelancaran tiga karnival utama yang bakal berlangsung pada bulan Julai.
“Kehadiran beliau bukan sahaja sebagai tanda sokongan kepada pasukan pelajar kita, tetapi juga untuk merasmikan pra pelancaran kepada tiga karnival mega yang akan dilaksanakan kelak,” katanya.
Tambah beliau, konsert berkenaan turut menjadi platform pelancaran awal kepada Mega Karnival Tiga Dimensi, yang merangkumi Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
Konsert istimewa itu bakal diserikan dengan persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang Khalifah, serta kumpulan Zeppo Youngster.