fb fb fb fb fb

Kepimpinan baharu PKR mampu angkat parti jadi lebih baik - PM

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 24 Mei- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu akan mampu mengangkat keupayaan untuk menjadi lebih baik daripada apa yang pernah dicapai.

Berucap di hadapan lebih 10,000 perwakilan pada Kongres Nasional Tahun PKR 2024/2025, Perdana Menteri menegaskan keperluan sebagai sebuah jemaah yang mempunyai pelbagai susuk dan ragam, untuk mempunyai tekad bersama untuk menjayakan apa yang direncanakan.

“Kalau tunjuk keretakan, ia tak akan berhasil. Parti tidak akan mampu kalau tak ada semangat kasih sayang, kepercayaan.

“Jadi saya nak nasihatkan (pemimpin) di Cabang, negeri dan pusat, kita kena lepaskan pengalaman lama (selepas pemilihan),” kata beliau ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden, di sini hari ini.

Kongres itu dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar, serta barisan saf kepimpinan parti.

Datuk Seri Anwar yang mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu berkata, bagi menguatkan parti, ia perlu merangkul semua kekuatan termasuk sokongan bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad, yang selama ini telah memberikan sumbangan besar terhadap parti.

Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyentuh mengenai keperluan untuk kepimpinan memperkemas parti pascapemilihan, dengan tumpuan diberikan kepada membaiki kelemahan serta menggilap idealisme parti dalam kalangan ahli.

“Oleh itu arahan pertama saya (hari ini), kita perlu adakan kursus di Akademi Keadilan bermula daripada MPP (Majlis Pimpinan Pusat), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, untuk kita muhasabah diri.

“Perkara ini perlu bermula dari atas (pimpinan tertinggi parti) sebelum kita melatih yang ahli-ahli di bawah ini, yang penting kita terima teguran dan baiki (kesilapan) dengan lapang dada, kerana itulah lazimnya kalau kita mahu jadi pemimpin,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, parti juga perlu melalui proses reformasi terutamanya melibatkan aspek disiplin dan akhlak. - BERNAMA

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello