JOHOR BAHRU, 24 Mei- Pelaksanaan beberapa inisiatif dan penyasaran subsidi oleh Kerajaan Madani pada ketika ini adalah penting bagi mengelakkan negara mengalami kebocoran dan kehilangan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang kelemahan dalam pelaksanaan inisiatif terbabit, akan segera diteliti bagi memastikan ia tidak membebankan dan memberi kesan kepada rakyat.
"Insya-Allah, kita akan perbaiki supaya tidak akan membebankan. Begitu juga dengan penyasaran subsidi, Malaysia ialah negara paling tinggi diberikan subsidi.
"Memang betul ada beberapa perkara seperti pekebun-pekebun dan sebahagian kecil masih menghadapi masalah namun ada peruntukan disalurkan untuk menampung kerugian mereka," katanya.
Perdana Menteri menyatakannya semasa berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Keadilan ke-18 di Persada Johor, di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan komited membendung penggunaan minyak bersubsidi dalam kalangan warga asing.
"Harga minyak mesti dinaikkan untuk warga asing. Terdapat 3.5 atau empat juta orang asing di negara ini.
"Apa salah kita kenakan penyasaran subsidi bagi mereka, orang asing yang punya kenderaan mengikut unjuran perlu dibelanjakan RM3 bilion hingga RM4 bilion subsidi," katanya.