fb fb fb fb fb

Akta Pemakanan 1983 bakal dipinda, lindungi generasi muda daripada obesiti

Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam peringkat merangka draf Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan dan penambahbaikan Akta Pemakanan Malaysia 1983 / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam peringkat merangka draf Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan dan penambahbaikan Akta Pemakanan Malaysia 1983, bagi menangani cabaran pemakanan semasa, khususnya yang melibatkan golongan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu diambil susulan statistik membimbangkan yang menunjukkan satu daripada tiga kanak-kanak di Malaysia mengalami obesiti, sekali gus meningkatkan risiko mereka menjadi dewasa yang obes dan mudah terdedah kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Untuk Akta Pemakanan itu, kita telah membawa Memorandum Jemaah Menteri dan telah diluluskan. Namun, kita masih belum menetapkan garis masa yang spesifik kerana drafnya perlu disediakan secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Jurulatih Utama Cara Hidup Andaterbaik (JU C-HAT) Peringkat Kebangsaan 2025, di ibu negara.

RUU tersebut dijangka melalui proses penggubalan semula secara menyeluruh dan dijadual dibentangkan di Parlimen menjelang tahun 2027.

Konvensyen JU C-HAT yang bertemakan “JU C-HAT Membentuk Generasi Sihat” diadakan bagi memperkukuh ilmu dan kefahaman dalam kalangan jurulatih, selain memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian pengalaman antara JU C-HAT, guru, ibu bapa dan pihak KKM.

Dalam usaha menangani isu pemakanan secara lebih komprehensif, KKM turut melaksanakan Pelan Strategik Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak Malaysia 2023–2030 sebagai pendekatan menyeluruh dan agresif ke arah pembentukan generasi lebih sihat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN