KUALA LUMPUR, 24 Mei - Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan menghantar delegasi ke Myanmar untuk rundingan damai bagi menyelesaikan konflik negara itu, tidak lama lagi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan menyampaikan permintaan pemegang taruh kepada kepimpinan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.
"Kami sudah bertemu dengan pihak berkepentingan masing-masing di Myanmar dan kami tahu senarai hajat mereka. Sekarang, kami mahu membentangkannya kepada SAC, dan akan lihat apa maklum balas mereka.
"Rundingan bukan satu atau dua kali tetapi perlu dilakukan kerap supaya persefahaman dapat dibina. Apa yang penting adalah membina kepercayaan dan mewujudkan jambatan yang boleh menghubungkan puak-puak bertentangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat secara tertutup berhubung pelaksanaan Konsensus Lima Perkara di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, walaupun berdepan kerumitan rundingan di Myanmar, ASEAN bertanggungjawab bagi memastikan negara anggotanya dalam keadaan baik.
Katanya, krisis dalaman Myanmar yang berlarutan bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan negara itu, malah mencetuskan pelbagai masalah rentas sempadan yang mengganggu keamanan dan keselamatan rantau Asia Tenggara.
"Bukanlah kita mencampuri hal ehwal negara itu, tetapi isu di Myanmar telah menjadi masalah kepada ASEAN apabila adanya pelarian, masalah jenayah rentas sempadan dan macam-macam lagi. Ia menyebabkan ketenangan di ASEAN ini terganggu dan tergugat disebabkan masalah dalaman Myanmar itu sendiri," katanya.