PUTRAJAYA, 25 Mei- Sebanyak 51 syarikat dan usahawan dinobat sebagai penerima 'Islamic Distinguised Enterprise Award (IDEA 2025)' (Anugerah Perusahaan Terbilang Islam).
Anugerah tersebut mengiktiraf syarikat yang menggabungkan prinsip perniagaan moden dengan etika Islam, sekali gus menginspirasikan lebih banyak perniagaan tampil berani mengamalkan prinsip syariah dalam operasi rutin masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, IDEA 2015 secara tidak langsung menjadi platform yang dapat mempamerkan kecemerlangan Islam boleh bersifat global, profesional dan memberi inspirasi.
"Kita harus ingat bahawa kepimpinan dan kuasa bukan sekadar tanggungjawab di dunia ini. Ia adalah persoalan yang akan ditanyakan di akhirat kelak.
"Malah, kerangka kerja Malaysia MADANI menekankan kepentingan ehsan sebagai kunci kemampanan di samping menggalakkan rasa tanggungjawab dan integriti", katanya.
Beliau turut memuji proses penjurian kali ini yang menggunakan kaedah CTOS sebagai satu pendekatan yang menekankan ketelusan, tanggungjawab sosial dan nilai Islam yang mengangkat prestij anugerah berkenaan bukan sekadar satu malam anugerah, tetapi satu gerakan kebangkitan ekonomi ummah.
"Itulah sebabnya saya ingin menekankan kepentingan ketelusan, integriti dan pengesahan dalam setiap keputusan yang dibuat."
"CTOS bukan sekadar pembekal data. Ia adalah penjaga amanah. Kerja mereka membantu kita membuat pilihan adil dan bertanggungjawab yang melindungi kredibiliti platform ini", katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama pada majlis IDEA Award 2025 di Putrajaya.
Anugerah turut diserikan dengan kehadiran Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Yang Amat Mulia Tunku Dato' Seri Utama Naquiyudin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar yang turut berkenan menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
IDEA 2025 menghimpunkan tokoh industri dari dalam dan luar negara termasuk penerima anugerah antarabangsa antaranya Muslim Pro (Singapura), Human Appeal (Australia) dan ZTE dari China.
Ia sekali gus, mengangkat prestij anugerah tersebut sebagai medan pengiktirafan dunia kepada syarikat seumpamanya, selain dapat menyatukan jaringan keusahawan Islamik berpengaruh di rantau ini.