fb fb fb fb fb

PM Vietnam tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi

Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh tiba untuk memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur/ BERNAMA

SEPANG, 25 Mei- Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan rasmi. Ia juga merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam pada April 2021.

Chinh beserta delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.55 malam tadi dengan menaiki pesawat khas.

Antara yang menyambut ketibaan beliau, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang yang juga merupakan menteri pengiring bagi lawatan ini.

Sejurus tiba, Chinh memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 28 anggota dan pegawai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Muhammad Nafis Norshid.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu dibuat menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei di Kuala Lumpur.

Lawatan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

Ketibaan Chinh juga akan disambut secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Perdana Putra, Putrajaya.

Majlis sambutan itu akan disusuli dengan mesyuarat dua hala yang dijangka membincangkan pelbagai aspek kerjasama termasuk ekonomi, pelaburan, dan pembangunan serantau.

Hubungan Malaysia-Vietnam diperkukuh apabila kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada tahap perkongsian strategik komprehensif pada November 2024.

Langkah ini menandakan komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama pelbagai bidang demi manfaat bersama.

ROSLINA BINTI DIN