fb fb fb fb fb

Kerajaan komited sokong PKS logistik, nadi ekonomi negara

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook/ BERNAMA

SHAH ALAM, 25 Mei – Kerajaan komited dalam menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor logistik, yang disifatkan sebagai nadi utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata industri logistik merupakan elemen penting dalam rantaian bekalan dan perdagangan yang secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Tanpa satu sistem logistik yang baik dan ekosistem yang menarik, maka sudah tentu ia akan membantutkan pembangunan perdagangan dan juga ekonomi negara kita terutamanya dari segi rantaian bekalan", katanya berucap dalam majlis Makan Malam Persatuan Usahawan Logistik Semenanjung Malaysia (PULSE) 2025 di Pusat Konvensyen Bukit Kemuning, malam tadi.

Beliau berkata pihaknya sentiasa bersedia membantu industri meningkatkan keupayaan, menjadi lebih kompetitif dengan mematuhi piawaian tertinggi industri, termasuk dalam aspek keselamatan.

“Pihak kerajaan, pihak Kementerian Pengangkutan akan cuba membantu untuk mempermudah pemain-pemain industri. Tetapi saya merayu kepada pemain-pemain industri logistik khususnya, supaya memberikan lebih banyak perhatian kepada isu keselamatan.

"Ini adalah penting untuk semua pihak, penting untuk syarikat, penting untuk pemandu, penting untuk orang ramai... kerana keselamatan ini adalah melibatkan semua orang bukan satu pihak sahaja", ujarnya.

Menurut Loke, tindakan tegas dalam aspek penguatkuasaan keselamatan jalan raya perlu dilihat sebagai kerjasama pintar antara pihak industri dan kerajaan, dalam usaha meningkatkan tahap kepercayaan dan nilai tambah bagi industri tersebut.

“Isu keselamatan jalan raya yang melibatkan kenderaan logistik merupakan perhatian utama masyarakat. Dalam hal ini, MOT telah mengambil tindakan serius termasuk langkah penguatkuasaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

"Saya berharap para pemain industri tidak melihat tindakan ini sebagai sesuatu yang bersifat konfrontasi, sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani kebimbangan rakyat secara bersama,” tambahnya

ROSLINA BINTI DIN