KUALA LUMPUR, 25 Mei– Kawalan keselamatan di lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disifatkan sangat kukuh, hasil pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), DCP M. V. Srikumar Madhavan Nair berkata, antara pendekatan utama yang digunakan ialah sistem pengimbas pintar berteknologi tinggi yang menggabungkan pengecaman wajah bersama kad identifikasi khas.
“Mesin pengimbas yang menggunakan sistem PAS ini mampu mengesan padanan wajah dengan kad. Jika maklumat tidak selari, pintu tidak akan dibuka dan akses tidak dibenarkan. Sistem ini juga memaparkan identiti individu, termasuk negara asal dan maklumat terperinci lain.
“Orang yang tidak berkaitan tidak akan dibenarkan masuk. Mereka yang sekadar melalui kawasan ini akan diarahkan menggunakan laluan luar,", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),semalam.
Selain itu, pelbagai unit khas turut digerakkan termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Pengesan Bom (UPB), dan Unit Anjing Pengesan (K9).
Unit Pengesan Bom dilengkapi dengan peralatan khas untuk mengesan bahan radioaktif serta cecair berbahaya.
Rondaan berkala turut dijalankan bagi mengesan sebarang potensi ancaman keselamatan.
“Unit K9 juga digerakkan di kawasan sekitar persidangan. Setiap anjing dilatih untuk tugas khusus, sama ada mengesan bahan letupan atau bahan terlarang,” katanya.
Semua pintu masuk utama ke kawasan persidangan turut dilengkapi dengan mesin pengimbas bagasi bagi mengesan sebarang bahan terlarang atau objek mencurigakan yang dibawa masuk.
Setakat ini, tiada aduan berhubung keselamatan diterima.
Langkah-langkah ini dilaksana sejajar dengan keperluan memastikan tahap keselamatan maksimum di kawasan yang menjadi tumpuan pemimpin serta delegasi dari pelbagai negara.
DCP MV Sri Kumar memberi jaminan semua prosedur keselamatan dikendalikan oleh anggota berpengalaman bagi memastikan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum sepanjang persidangan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai aliran trafik, beliau berkata keadaan setakat ini masih lancar dan terkawal walaupun terdapat penutupan sementara jalan bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi ASEAN.
Tambah beliau, kawalan trafik sepanjang persidangan dikendalikan anggota dari Jabatan Gerakan Trafik yang telah menjalankan tugas dengan profesional dan efisien.