fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46: Ekonomi lestari fokus utama

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Jun– Konsep ekonomi lestari menjadi fokus utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan serantau yang lebih seimbang, inklusif dan mesra alam.

Sidang kali ini menandakan komitmen baharu ASEAN ke arah masa depan yang lebih mampan, bukan sekadar dari sudut alam sekitar, tetapi juga dalam aspek sosial dan ekonomi.

Pengarah Pusat Sejahtera Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Zainal Abidin Sanusi, menjelaskan ekonomi lestari merangkumi keseimbangan antara tiga dimensi utama iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Ia menekankan kepentingan kelompok rentan dan pembangunan inklusif.

"Sebagai contoh, projek kitar semula bukan sahaja dilihat dari segi impak terhadap pencemaran atau pengurusan sisa, tetapi juga dari aspek bagaimana ia dapat menjana pendapatan untuk golongan B40 atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS)", katanya ketika ditemubual dalam program Biz Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat tiga faktor utama yang mendorong ASEAN memberi keutamaan kepada agenda ini.

Faktor pertama, pengisytiharan “Our Shared Future 2045” oleh ASEAN yang menekankan kepentingan menjadikan rantau ini sebagai pusat pertumbuhan yang lestari dan inklusif.

Ini bermakna, pembangunan perlu dinikmati semua lapisan masyarakat dan tidak hanya memihak kepada syarikat besar atau pelabur asing.

Faktor kedua, kesan pandemik COVID-19 telah mendedahkan kelemahan model ekonomi yang terlalu berpusatkan keuntungan tanpa memikirkan daya tahan sosial.

Ketika pandemik, kelompok rentan dan pekerja tidak formal adalah antara yang paling terkesan, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya pendekatan pembangunan yang lebih adil dan saksama.

Faktor ketiga, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 mahu menjadikan tahun ini sebagai titik perubahan sebenar.

Katanya, menerusi pendekatan baharu ini, ASEAN dilihat bersedia untuk memacu pertumbuhan masa depan yang lebih adil, seimbang dan bertanggungjawab, sejajar dengan cabaran iklim dan ketidaksamarataan global yang kian meruncing.

ROSLINA BINTI DIN