fb fb fb fb fb

"Sidang Kemuncak ASEAN jadikan KL tumpuan dunia"- Datuk Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Mei– Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bukan sekadar satu pertemuan diplomatik, sebaliknya merupakan gabungan tiga sidang kemuncak serentak yang menjadikan Kuala Lumpur tumpuan dunia.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sidang kali ini jauh berbeza daripada edisi sedekad lalu.

“Bezanya kali ini berbanding 10 tahun lalu, kita telah berjaya meyakinkan melalui Kementerian Luar, rakan-rakan dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk bersama dalam satu sidang kemuncak bersama ASEAN.

"Bukan satu sidang kemuncak, tetapi tiga,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, usaha besar itu turut menyaksikan keterlibatan ketua-ketua negara dan kerajaan dari rantau ASEAN, GCC dan China yang akan menyampaikan ucaptama masing-masing.

“Ini peluang amat baik untuk kita menunjukkan bahawa Malaysia sebagai negara neutral ingin berdagang dan menjalin hubungan dengan semua,” katanya lagi.

Seiring dengan kepentingan acara itu, sebanyak 71 sekolah di Kuala Lumpur dibenarkan menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), manakala pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan beberapa penutupan jalan secara berkala di sekitar ibu negara.

"Saya mohon supaya syarikat-syarikat swasta juga memberi kelonggaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini bukan acara mingguan, ia berskala antarabangsa dan memerlukan pengurusan trafik yang rapi,” kata Datuk Fahmi.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar mendapatkan maklumat rasmi dan sahih daripada agensi berita seperti BERNAMA dan RTM, dan bukan melalui media sosial yang tidak sahih.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM