SEREMBAN, 21 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperluaskan projek teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam memproses permohonan perakuan pelan bangunan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Othman Abdullah berkata, projek rintis bagi penggunaan teknologi kini sedang dilaksanakan di Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Kedah dan Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Johor.
"Sekarang ini kita buat rintis dahulu di Balai Kulim dan Balai Kulai. Untuk masa akan datang kita akan buat lebih besar lagi, ia lebih cepat dan pantas dan lebih berintegriti," katanya kepada pemberita pada Majlis Seminar Badan Peneraju Industri JBPM Negeri Sembilan, di sini.
Seminar itu turut diserta lebih 570 pemain industri dari seluruh Negeri Sembilan.
Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dilihat penting dalam mempercepatkan proses sedia ada, termasuk permohonan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) oleh pihak bomba, yang ketika ini mengambil masa sehingga 14 hari untuk diselesaikan.