fb fb fb fb fb

Kerajaan N.Sembilan pertimbang haramkan penjualan vape

PBT juga diminta untuk tidak membenarkan lesen untuk penjualannya pada masa ini / Foto fail Bernama

SEREMBAN, 21 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan pertimbang untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu dengan mengambil kira kesan penggunaannya khususnya kepada generasi muda.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, status penjualan rokok elektronik itu akan dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan akan datang.

“Saya juga minta supaya penguatkuasaan ketat terhadap penjualan mushroom vape, itu yang paling penting untuk diselesaikan, sekarang macam-macam ada, rokok elektronik dan sebagainya, semua tak boleh rokok moden ke tak moden ke (beri kesan),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta untuk tidak membenarkan lesen penjualannya pada masa ini, selain menyelaraskan dengan lebih terancang sekiranya ada papan tanda mengenai jualan produk itu.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan mencari punca dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar.

Sebelum ini  beberapa negeri termasuk Terengganu dan Perlis, mengambil keputusan mengharamkan penjualan produk rokok elektronik atau vape.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN