fb fb fb fb fb

ACNR2025 dijangka himpun lebih 5,000 peserta

Foto RTM

PUTRAJAYA, 21 Mei– ASEAN Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge (ACNR2025) bakal mencipta sejarah sebagai acara larian unik berteraskan kebudayaan.

Ia dijangka menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara pada 16 Ogos ini, sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 dan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, ia adalah salah satu acara penting dalam pengisian Tahun Koperasi Antarabangsa 2025.

"Saya ucapkan tahniah kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Koperasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atas kerjasama ini.

"Saya berharap penyertaan mencecah sasaran 3,000 orang atau lebih agar ia memberi impak besar kepada peminat larian di Malaysia dan rantau ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian di Pejabat Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sini, hari ini.

Acara itu dilancarkan secara simbolik hari ini dengan penyerahan tajaan bernilai RM100,000 oleh ANGKASA kepada Koperasi LLM Berhad; disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata penganjuran itu merupakan peluang terbaik untuk mempromosikan aktiviti koperasi kepada masyarakat dalam dan luar negara.

"Tahun 2025 telah diiktiraf sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa dengan tema ‘Cooperative in a Better World’.

"Ini bukan sekadar program sukan, tetapi merupakan platform untuk mempamerkan peranan koperasi dalam pembangunan sosial dan ekonomi.

"Lebih menarik, ia diselaraskan dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun tersebut, sekali gus menjadikannya simbol penyatuan serantau," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi LLM Berhad, Datuk Idrus Mat Tais, memaklumkan bahawa lebih 3,000 penyertaan telah diterima setakat ini dan pendaftaran masih dibuka sehingga 30 Jun atau sehingga kuota 5,000 peserta dipenuhi.

"Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ini ikonik dan hanya dibuka sekali setahun untuk acara larian seperti ini.

"Ia bukan sekadar ‘fun run’ atau larian kompetitif, tetapi turut diselitkan elemen kebudayaan seperti pertandingan pakaian tradisional ASEAN. Kami menyediakan lebih 30 hadiah untuk kategori ini sahaja," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan penyertaan antarabangsa sangat menggalakkan, dengan lebih 400 hingga 500 peserta luar negara telah berdaftar.

Acara tersebut menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai, barangan eksklusif, cabutan bertuah, dan t-shirt berjenama.

ACNR2025 akan menampilkan pelbagai kategori seperti Fun Run 5 kilometer (KM), Larian Kompetitif 10 KM (terbuka lelaki/wanita, veteran, dan kanak-kanak), serta Larian Kompetitif 21 KM.

Selain acara larian, pengunjung juga boleh menikmati pameran, jualan, dan persembahan kebudayaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM