KUALA LUMPUR, 21 Mei- Persiapan rapi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur mencerminkan komitmen Malaysia sebagai tuan rumah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini lebih 1,200 pengamal media telah mendaftar, termasuk lebih 500 wartawan antarabangsa.
“Ini adalah jumlah penyertaan yang tinggi dan menunjukkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China ini amat dinantikan dan akan dilaporkan oleh agensi berita pelbagai negara”, katanya dalam sidang media mingguan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau berkata BERNAMA memainkan peranan sebagai penyelaras media, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperluas kemudahan 5G di lokasi strategik bagi memastikan kelancaran liputan.
“Pihak MCMC telah menyediakan tiga unit ‘5G in a box’ bersaiz besar dan 26 unit yang lebih kecil yang dipasang di seluruh lokasi Sidang Kemuncak ASEAN.
"Setakat ini, saya mendapati kelajuan internet amat baik, dengan sesetengah lokasi mencatatkan antara 300 hingga 600 Mbps, malah mencecah 1 Gbps di pusat media,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa "Deklarasi Kuala Lumpur” bakal dilancarkan secara rasmi sempena sidang kemuncak ini dan merupakan salah satu dokumen utama.
“Setelah Deklarasi Kuala Lumpur diluncurkan secara rasmi, rakan-rakan media akan diberikan perincian dokumen tersebut oleh Kementerian Luar Negeri dan Sekretariat ASEAN,” tambahnya.
Datuk Fahmi turut menyentuh mengenai keperluan logistik dan kemudahan untuk petugas media seperti tempat makan bagi mengelakkan kesesakan, terutamanya pada waktu puncak dan menyatakan bahawa pihak sekretariat sedang meneliti perkara itu.