fb fb fb fb fb

Putrajaya - Sarawak meterai Kenyataan Bersama kerjasama Petronas - Petros

Kenyataan Bersama berkenaan ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 21 Mei - Kerajaan Persekutuan dan Sarawak capai persefahaman dan memeterai Kenyataan Bersama bagi kerjasama PETRONAS dan PETROS.

Kenyataan Bersama itu memperakui undang-undang Persekutuan dan negeri, kedudukan perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Kesepakatan itu ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Putrajaya.

“Perkara ini dari segi prinsip telah lama disepakati seperti mana saya rundingkan dengan Premier waktu itu mengenai parameter yang jelas menerima kenyataan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) untuk Sarawak.

“Maknanya, keadaan terkini menuntut kita menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang, lebih matang dan lebih mempunyai keupayaan termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang mempunyai potensi besar,” kata beliau.

Melaluinya, potensi besar dapat diteroka secara menyeluruh yang mampu memperkukuh kepercayaan dan keyakinan pelabur dalam sektor petroleum negara.

Persefahaman yang dicapai itu juga akan memastikan kedudukan Petronas kekal tidak tergugat manakala peranan Petros sebagai syarikat minyak dan gas (O&G) di Sarawak diiktiraf. 

Tambah Perdana Menteri, kedua-dua syarikat itu komited untuk terus bergerak bersama-sama demi kepentingan negara dan juga Sarawak.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN