fb fb fb fb fb

Imigresen KL tahan 1,789 PATI sejak Januari, kompaun cecah RM4.59 juta

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff pada sidang media OPS Serkap hari ini / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus bertindak agresif membendung isu pendatang tanpa izin (PATI) menerusi pelaksanaan 272 operasi penguatkuasaan sejak Januari sehingga 20 Mei.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi sepanjang tempoh tersebut membabitkan penangkapan seramai 1,789 PATI dengan hasil kutipan kompaun bernilai RM4.59 juta.

"Sebanyak 3,587 orang telah diperiksa melibatkan tangkapan 1,789 PATI. JIM Kuala Lumpur sangat serius dalam memastikan penguatkuasaan bersifat 360 darjah iaitu kami turut menangkap 68 majikan warganegara dan bukan warganegara,"katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sejumlah 1,551 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas.

Tangkapan tertinggi direkodkan membabitkan warga Indonesia, diikuti Bangladesh, Myanmar dan Pakistan.

Mengulas mengenai Program Repatriasi Migran 2.0 beliau berkata pihaknya mencatatkan penyertaan seramai 96 warga asing dalam tempoh dua hari.

Katanya, hasil kutipan program itu berjumlah RM26,840 membabitkan kompaun dan bayaran pas khas.##

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN