fb fb fb fb fb

Inisiatif AI Skyvast-Huawei tiada kaitan dengan Kerajaan Malaysia- MITI

Foto hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa inisiatif pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) oleh Skyvast Corporation dan Huawei Technologies bukan dibangunkan, disokong atau diselaraskan oleh Kerajaan Malaysia.

Dalam kenyataan susulan laporan media dan kenyataan awam berkaitan pelancaran inisiatif tersebut, MITI menjelaskan bahawa ia bukan sebahagian daripada mana-mana perjanjian antara kerajaan mahupun program teknologi yang diwajibkan di peringkat nasional.

“Walaupun Kerajaan MADANI menyambut baik usaha ke arah pembangunan infrastruktur berasaskan AI bagi memperkukuh kapasiti dan perkhidmatan sektor awam, setiap inisiatif perlu melalui proses perundangan, operasi dan reputasi yang sewajarnya, termasuk penilaian ketekunan wajar (due diligence) yang sepadan dengan kepentingan serta impak projek sedemikian,” jelas kenyataan itu.

"MITI turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap pematuhan sepenuhnya kepada undang-undang kawalan eksport yang berkuat kuasa, arahan keselamatan negara, serta panduan terkini daripada pihak berkuasa pengawalseliaan global.

"Ini termasuk pematuhan terhadap standard tertinggi dari segi ketelusan, akauntabiliti, berkecuali dan keselamatan, selaras dengan prinsip multilateralisme yang didukung oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Malaysia juga menegaskan semula hak kedaulatan negara untuk merangka dasar berdasarkan kepentingan nasional, sambil terus menyokong teknologi transformatif yang mendorong penyelidikan dan inovasi global demi kemajuan teknologi canggih untuk manfaat sejagat.

ROSLINA BINTI DIN